Rabu, 18 Februari 2009

Mesir: Pekerja Mogok Terhadap Eksport ke Israel

Sabtu (7 Februari)lalu, para pekerja Syarikat Baja Mesir di Suez mengadakan bantahan terhadap pengeksportan baja ke Israel.

Bantahan ini merupakan yang julung-julung kali mereka adakan sejak serangan Israel ke atas Gaza hujung tahun lalu.

Syarikat ini mempunyai kira-kira 800 orang pekerja.

Syarikat Baja Mesir dimiliki oleh keluarga Sawiri. Najib Sawiri merupakan orang ke-62 terkaya di dunia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Forbes.

Ayahnya pula, Onsi, menduduki tangga ke-96 dan adiknya Nassif di tangga ke-226, di bawah nama syarikat pembinaan Orascom.

Syarikat Baja Mesir menandatangani perjanjian untuk mengeksport sebanyak 1000 tan baja fosfat ke Israel, dengan purata 100 tan setiap minggu.

Dua hari sebelum bantahan tersebut, para pekerja dilaporkan terkejut apabila diminta oleh pihak pentadbiran untuk memproses pesanan baja yang tidak bertanda yang akan dihantar oleh trak Jordan ke lokasi yang tidak diketahui.

Akibatnya, kira-kira 100 orang pekerja mogok dan enggan memproses pesanan tersebut kerana mereka mempercayai bahan tersebut akan dihantar terus ke Israel.

Apabila pihak pentadbiran syarikat mengetahui tentang situasi tersebut, mereka mematahkan mogok tersebut dengan mengugut untuk memberhentikan pekerja dan memotong sebanyak setengah bulan gaji daripada kesemua pekerja syarikat tersebut.

Di Mesir kini, pelbagai perkembangan berlaku dengan sangat cepat. Khususnya dalam tiga tahun kebelakangan ini, pergerakan perpaduan Palestin dan pergerakan pekerja kini mengambil semakin banyak tindakan untuk membantah kerajaan demi menyatakan sokongan terhadap Palestin dan juga dalam mempertahankan hak-hak pekerja
di Mesir.

(Tadamon)

Selasa, 17 Februari 2009

Israel Rampas 1700 Dunum Tanah Palestin

BAITUL MAQDIS -Pihak Israel telah merampas tanah Palestin seluas 1700 dunum (bersamaan 170 hektar) di daerah Baitul Laham, dalam usaha Israel meluaskan petempatan haram Efrat, lapor akhbar berbahasa Hebrew (Ibrani) semalam.

Akhbar harian, Haaretz, melaporkan peluasan kawasan itu adalah untuk membina sebanyak 2500 unit petempatan haram yang baru.

Keputusan itu dibuat selepas apa yang dipanggil sebagai 'pentadbiran awam Israel', menolak bantahan pemilik tanah Palestin yang sah.

Pemilik tanah tersebut terpaksa merayu untuk membantah rampasan tersebut lebih setahun lalu namun ditolak.

Hak milik tanah ditukar kepada petempatan haram Efrat, yang merupakan sebahagian daripada petempatan haram Gush Ezion, selatan Baitul Laham dan menempatkan 9000 orang penceroboh.
(Sumber: Palestine-Info)

Dr. Sami Abu Zuhri: Perang Belum Berhenti di Ghazzah

KUALA LUMPUR - Jurucakap Hamas, Dr. Sami Abu Zuhri, mendakwa peperangan di Ghazzah masih belum berhenti kerana saban hari dilaporkan berlakunya serangan dan pencerobohan tentera Israel, manakala pembangunan semula wilayah tersebut langsung belum dimulakan.

Beliau yang berkata demikian kepada Koresponden PIC di Kuala Lumpur, turut menyatakan kehadirannya di Malaysia adalah atas undangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dr. Sami menerangkan, tujuan lawatannya adalah untuk mengumpulkan sokongan ke atas Palestin, untuk menerangkan kedudukan Hamas serta mendedahkan jenayah Israel semasa serangan ke atas Ghazzah.

Belaiu sempat mengadakan beberapa pertemuan rasmi dengan wakil-wakil rakyat, ahli-ahli Parlimen dan tokoh-tokoh masyarakat selama berada 5 hari di sini.

Anatara tokoh yang sempat ditemui beliau termasuklah Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan mengenai Perang Ghazzah dan perkembangan politik terkini (di rantau tersebut), serta usaha Hamas untuk mencapai perjanjian damai dengan pihak Israel.

Menurutnya, Anwar akan menggunakan rangkaian yang beliau ada untuk menerangkan kedudukan Hamas. Dr. Sami menyifatkan pertemuan dengan Anwar sebagai penting dan berjaya, dan menyatakan Anwar menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Dr Sami Abu Zuhri turut mengambil bahagian dalam beberapa seminar dan perhimpunan untuk Palestin, selain sidang media dan temubual di stesen tv, akhbar dan majalah.

(Sumber: Palestine-info)

Isnin, 16 Februari 2009

Erdoğan: Keputusan Pilihan Raya Israel Akan Kelamkan Masa Depan Serantau

Rejab Taib Erdoğan, Perdana Menteri Turki

ANKARA – Perdana Menteri Turki, Rejab Taib Erdoğan menyatakan keprihatinan terhadap pilihan raya umum negara haram Israel yang menyaksikan kebangkitan parti politik pelampau berhaluan kanan (pro kezaliman - pen).

Dalam satu temubual yang disiarkan melalui televisyen pada hari Ahad, Erdoğan menyatakan keputusan pilihan raya itu akan membuatkan rantau tersebut ’kelam’.

Erdoğan, walau bagaimanapun, meminta agar kerajaan (haram) yang baru akan mengusahakan polisi baru terhadap Palestin yang akan menghentikan penindasan terhadap mereka. Tambah beliau, polisi penaklukan sebelum ini telah ternyata gagal.

Erdoğan menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak untuk hidup dalam kebebasan, bukan penindasan, yang mana, tambah beliau, bertentangan dengan hak asasi manusia.

Pihak Kementerian Luar Turki telah memanggil Duta Israel, Gabby Levy pada hari Sabtu untuk menyatakan bantahan terhadap komentar yang dibuat oleh Avi Mizrahi, Komander Tentera Darat Israel, yang mengecam Turki dan Erdoğan.

Turki, sebelum itu, meminta Israel menjelaskan kenyataan Avi Mizrahi yang dilaporkan akhbar Israel, Haaretz. Avi Mizrahi dalam kenyataannya mempersoalkan polisi Turki terhadap bangsa Kurdi dan negara Cyprus, dan menyatakan hubungan dua hala kedua-dua negara itu kini terancam.

(Sumber: Palestine-Info)

Ahad, 15 Februari 2009

ABIM Anjurkan Bengkel Strategik Menangani Isu Palestin

SABTU, Ampang - ABIM telah menganjurkan Bengkel Strategik Menangani Isu Palestin di sini, hari ini.

Bengkel tertutup tersebut telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM Pusat serta Setiausaha ABIM Negeri.

Antara keputusan yang dicapai dalam bengkel tersebut termasuklah strategi jangka panjang untuk menangani isu Palestin yang melibatkan kerjasama pertubuhan di peringkat antarabangsa, selain memperkemas kempen boikot produk Israel dan pro-Zionis.

Turut dilancarkan dalam bengkel tersebut adalah buku 'Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Quds ke Pangkuan Islam' tulisan Dr. Majid Irsan Kailani.

300 Penduduk Israel Diiringi Tentera, Ceroboh Perkampungan Artas di Batul Laham

JURUSALAM – Pada hari Jumaat, kira-kira 300 penduduk negara haram Israel yang diiringi tentera dan pengawal sempadan menceroboh beberapa kawasan di pekampungan Artas, selatan Baitul Laham. Mereka turut mendirikan beberapa khemah di atas kawasan yang turut terancam dengan peluasan wilayah haram Israel itu.

Pencerobohan tersebut berlaku setelah jentolak Israel membuka laluan sejauh 800 meter yang menghubungkan kawasan Khalat an-Nahl (terletak di perkampungan Artas) dengan petempatan haram Efrat. Petempatan haram tersebut dibina di atas kawasan beberapa perkampungan lain termasuk Artas dan Al-Khadr.

Penduduk kampung dari Artas memberitahu Pusat Maklumat Palestin (PIC) jentolak Israel beroperasi di kawasan tersebut sepanjang masa termasuk waktu malam untuk menyiapkan segera wilayah petempatan haram yang baru.

(Sumber: Palestine-Info)

Khamis, 12 Februari 2009

Israel Bom Balai Polis Palestin

KHAN YOUNIS, (Gambar)- Kapal terbang perang Israel menyerang sebuah balai polis pada Subuh hari Khamis di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. Balai polis ini pernah menjadi sasaran dalam serangan udara sebelum ini.

Pihak keselamatan memberitahu pemberita Pusat Maklumat Palestin (PIC), kapal terbang perang F-16 milik Israel menembak dua biji peluru berpandu ke arah balai tersebut yang menambahkan lagi kerosakan dan kemusnahan.

Sumber menyatakan balai polis yang kosong tersebut turut dibom beberapa kali sebelum ini.

Jurucakap Tentera Penceroboh Israel (TPI) mendakwa serangan tersebut sebagai tindakan balas terhadap serangan mortar dari Gaza ke penempatan haram Israel yang terletak bersebalahan dengan Semenanjung Gaza.

(Sumber: Palestine-Info)