Isnin, 22 Disember 2008

Gaza Makin Tenat!

Isnin, 22/12/2008 - Ahli Parlimen Gaza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti-Pengepungan, Jamal Al-Khudari, Ahad lalu mengecam keras sekatan ekonomi Israel terhadap Semenanjung Gaza, sambil menegaskan bahawa pengepungan itu menjadikan Gaza terpinggir di samping bencana kemanusiaan yang membimbangkan.

Menurut Khudari, penutupan semua mata lintasan di Semenanjung Gaza oleh Israel sehingga minggu ketujuh berturut-turut akan memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza serta menyatakan penutupan loji kuasa utama di bandar itu menjadikan 80% wilayah itu berada dalam kegelapan.

Dalam satu siaran akhbar beliau yang dikeluarkan di Gaza, Khudari menjelaskan bahawa sekatan itu telah menjejaskan seluruh aspek kehidupan sambil menambah lebih daripada 273 penduduk Palestin mati akibat pengepungan yang menekan itu.

Sumber: Palestinkini

Jumaat, 5 Disember 2008

Pelampau Yahudi Lancar Perang Terhadap Penduduk Palestin

Jumaat , 05/12/2008 - Pelampau Yahudi bertindak melancarkan beberapa siri keganasan terhadap penduduk Palestin di Hebron Tebing Barat dengan menyerang dan membakar rumah orang Palestin dan merosakkan tanaman zaitun selepas tentera Israel mengarah penduduk haram yahudi di situ mengosongkan rumah AlRajabi milik rakyat Palestin .

Mereka juga bertindak ganas terhadap kanak-kanak Palestin dan seorang kanak-kanak serta ayahnya cedera dalam serangan itu. Mereka membakar kereta bomba yang sedang memadamkan kebakaran rumah warga Palestin.

Gabenor Hebron, Dr. Hussein Al A'raj berkata tentera Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan warga Palestin disini kerana kawasan ini dibawah kawalan tentera Israel seiring dengan perjanjian Geneva yang menjamin keselamatan rakyat Palestin yang dijajah.

Sumber : http://www.palestinkini.info/