Isnin, 5 Januari 2009

70 Terkorban Dalam Serangan Hari Ke-9 di Ghazzah


Ghazzah (Gaza), Isnin - Tentera rejim Zionis Israel (Israeli Occupation Forces - IOF) meneruskan kempen keganasan dan pembunuhan ke atas penduduk awam Semenanjung Ghazzah dan membunuh 70 orang pada hari Ahad, menjadikan angka korban penduduk Palestin kepada 520 orang.

Selepas beberapa buah kereta kebal dan askarnya diserang hendap oleh pertahanan Palestin, askar Israel membalas dendam dengan mensasarkan serangan ke rumah penduduk awam.

Pada hari Ahad, sumber perubatan menyatakan, sejak bermulanya serangan darat Israel pada Sabtu malam, jumlah rakyat Palestin yang terkorban mencecah 70 orang; 23 daripadanya kanak-kanak, selain wanita dan orang tua; manakala lebih kurang seratus yang lain cedera.

Sumber yang sama turut menyatakan kebanyakan yang terbunuh merupakan penduduk awam. Pasukan perubatan termasuk ambulans pula tidak dapat sampai di sesetengah kawasan kerana serangan berterusan rejim Zionis melalui udara, laut, dan darat.

Di bahagian utara Semenanjung Ghazzah pula, tentera rejim Zionis mengebom beberapa buah rumah, membunuh 12 orang termasuk dua kanak-kanak.

Menurut penduduk tempatan, 9 orang terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis yang mensasarkan serangan kepada sekumpulan orang di luar bangunan Sekolah Abu Ubaidah di Bait Lahya, bahagian utara Semenanjung Ghazzah. Kawasan yang sama diserang lagi membunuh 3 orang ahli paramedik yang sedang merawat mangsa yang cedera.

Ini bukanlah kali pertama ahli paramedik menjadi sasaran serangan; 6 orang paramedik Palestin terbunuh sebelumnya menjadikan 9 orang paramedik terbunuh semenjak 9 hari serangan dilancarkan.

Bahkan, timbul kekhuatiran hospital akan turut menjadi sasaran serangan berikutan kenyataan Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, yang menyatakan kononnya hospital menjadi tempat persembunyian 'pengganas'.

Sumber: Palestine-Info

Tiada ulasan:

Catat Ulasan