Selasa, 20 Januari 2009

Solat Hajat Perdana Pelajar dan Mahasiswa Islam

Sekretariat Bertindak Pelajar dan Mahasiswa Islam yang dianggotai di antaranya oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), GPMS, ABIM, Puteri Islam dan beberapa lagi NGO akan menganjurkan Solat Hajat Perdana Pelajar dan Mahasiswa Islam pada 22 Januari 2009 (Khamis) bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Ini adalah tindakan susulan berikutan daripada operasi ketenteraan Rejim Israel ke atas Gaza, Palestin yang kini telah mengorbankan kira-kira 1500 nyawa dan mencederakan ribuan lagi yang lain.

Solat hajat tersebut adalah antara usaha belia Islam khususnya di kalangan pelajar dan mahasiswa bagi menunjukkan sokongan dan dorongan kepada saudara-saudara se-Islam di Palestin. Perhimpunan secara besar-besaran itu bertujuan untuk merafa'kan doa kepada Allah s.w.t. memohon agar rakyat Palestin terus diberikan ketabahan dan kesabaran di dalam mendepani krisis demi krisis di dalm konflik berpanjangan Palestin-Israel itu.

Program tersebut akan dimulakan dengan jamuan makan malam pada jam 6 petang. Selepas solat Magrib berjemaah, akan disusuli dengan Solat Hajat diikuti dengan Tayangan Video Palestin. Selepas solat Isya', program diteruskan dengan ucapan daripada pimpinan NGO dan mahasiswa.

Sehubungan dengan itu, belia-belia Islam Malaysia dijemput hadir bagi menunjukkan sokongan dan dorongan kita kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang sengsara akibat kekejaman Rejim Israel. Bersama kita berdoa dengan penuh pengharapan kepada Allah S.W.T. agar diberikan bantuan dan kemenangan Islam di Palestin dan di mana jua.

Sekretariat PKPIM Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan